Perladangan

Perladangan

Sektor Perladangan adalah sektor penting yang menyumbangkan peningkatan di dalam pemerolehan pendapatan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Sehingga Jun 2015, keluasan tanah ladang PKNK melebihi 21,000 ekar yang ditanam getah dan kelapa sawit. Ianya meliputi Ladang Bukit Perak Utara, Ladang Bukit Perak Selatan, Ladang Sungai Ular, Ladang Pinang Tunggal, Ladang Sungai Pau, Ladang Bukit Nguan, Ladang Laka Temin, Ladang Aman Jaya, Ladang Gurun, Ladang Jabi dan Ladang Charok Genting Bunga.

Walaupun menghadapi penurunan harga getah dan kelapa sawit, usaha-usaha diteruskan bagi menambah keluasan dan produktiviti sektor ini. Ini dilakukan melalui pengurusan ladang yang berkesan serta kawalan mutu dan cara pengurusan yang professional. Ladang-ladang milik PKNK ini diuruskan oleh Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah Sdn Bhd (KLPK), syarikat milik penuh PKNK.

Di samping menguruskan ladang-ladang dan kilang pemprosesan lateks di Kilang Hevea Bukit Perak, milik PKNK, KLPK juga bertanggungjawab memberi khidmat nasihat pengurusan kepada 6 buah ladang milik swasta dengan keluasan sejumlah 2,059 ekar.

KLPK juga melibatkan aktivitinya dalam industri hiliran dengan menubuhkan dua (2) buah syarikat milik penuh iaitu KLPK Ventures Sdn. Bhd. bagi mengendalikan aktiviti pengeluaran dan pengilangan baja bio organik dan projek tanaman kontan. Manakala Laka Temin Silaj Sdn. Bhd., terlibat secara langsung di dalam projek penternakan lembu fidlot, pusat pembiakan baka lembu, pusat kuarantin ternakan dan pengeluaran makanan ternakan lembu.

Menyedari kepentingan sektor perladangan ini, PKNK merancang untuk memperluaskan lagi ladang miliknya dengan membangunkan kawasan-kawasan berpotensi sebagai ladang baharu PKNK.

Categories

Aktiviti Utama