23 Mei 2022 (Isnin), bertempat di Bilik Seminar Tingkat 4, Wisma PKNK satu taklimat berkenaan Jenayah dan Rasuah anjuran Bahagian Pentadbiran & Pembangunan Sumber Manusia PKNK telah diadakan dengan jayanya. Taklimat tersebut disampaikan oleh En Zureen Aizad bin Tajudin dari Jabatan Penjara Pokok Sena. Seramai 70 orang warga kerja PKNK dari pelbagai Bahagian/Unit turut hadir pada sesi taklimat tersebut. Taklimat ini bertujuan untuk meningkatkan jati diri dan memberi kesedaran serta pendedahan berkenaan salah laku jenayah dan rasuah. Majlis penyampaian cenderamata disampaikan oleh En Azwan bin Abdul Wahab, Pengurus Kanan, Bahagian Pentadbiran & Pembangunan Sumber Manusia.

Sepanjang bulan Ramadhan ini, aktiviti dan program tetap berjalan seperti biasa, dan sempena bulan yang penuh berkat ini, Puan Anita Salleh, Ketua Pegawai Operasi PKNK, telah mengadakan beberapa siri Kunjung Hormat bagi mengeratkan lagi hubungan baik di antara PKNK dengan pihak-pihak yang berkepentingan.

Kunjungan hormat dan perbincangan yang pertama telah diadakan kepada Y. Bhg. Puan Sharifah Hamidah binti Syed Harun, Ahli PKNK yang mewakili Kementerian Kewangan (MOF) dan kepada Y. Bhg. Tuan Saharuddin bin Sarwan, Ahli PKNK yang mewakili Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU, JPM) . Pertemuan ini menfokuskan kepada isu-isu yang memerlukan perhatian khusus daripada pihak MOF dan EPU, JPM.

Kunjungan hormat dan perbincangan kedua adalah kepada Y. Bhg. Puan Norazlin binti Alias, Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membincangkan isu-isu perjawatan dan pengstrukturan PKNK.

Kunjungan hormat dan perbincangan yang ketiga adalah kepada Y. Bhg. Dr. Hj. Nadzman bin Mustaffa, YDP Majlis Perbandaran Kulim. Pertemuan ini adalah susulan perbincangan mengenai cadangan menaiktaraf Kawasan Perindustrian Kulim (KIE) dan perkara-perkara berkaitan dengannya.

Kunjungan hormat dan perbincangan seterusnya kepada Y. Bhg. Tuan Aziz bin Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). Pertemuan ini lebih menfokuskan kepada potensi-potensi kolaborasi antara Perbadanan wilayah utara dan juga perbincangan penanda aras bagi sektor perniagaan anak-anak syarikat serta peluang-peluang baru yang boleh diterokai secara bersama.

Kunjungan hormat juga dilakukan kepada Y. Bhg. Dato' Mohamad Che Nai, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Kedah, yang sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai Pengurus Besar Pentadbiran di PKNK.

Satu Kunjungan Hormat yang diketuai oleh Puan Anita Salleh, Ketua Pegawai Operasi PKNK, kepada Y. Bhg. Dato' Abdul Gafar bin Yahya, Pegawai Daerah Langkawi, telah diadakan pada 25 April 2022 yang lalu di Pejabat Daerah Langkawi dengan disertai oleh Puan Kamariah Mohd Fisol, Timbalan Pengurus Bahagian Pembangunan Perniagaan PKNK.

Pertemuan ini turut disertai oleh Pengerusi Enspire Ventures Sdn. Bhd. Y. Bhg. Tan Sri Mohd Effendi Norwawi dan juga Pengerusi Enfiniti (M) Sdn. Bhd. Puan Sri Tiara Jacquelina yang telah membuat pembentangan mengenai cadangan pembangunan semula Kampung Buku Langkawi yang terletak di dalam kawasan tanah milik PKNK, sebagai satu tarikan baru di Langkawi dengan konsep baru yang diberi nama 'Dream Forest of Langkawi'.

Sesi pembentangan ini kemudiannya disambung dengan Majlis Bacaan Yassin dan Doa Selamat untuk memohon keberkatan serta keselamatan dan kejayaan projek ini di Kampung Buku, Langkawi. Bacaan yassin dan doa selamat ini telah dipimpin oleh Y. Bhg. Ustaz Haji Mohd Isa bin Haji Abdul Rahman dari Bahagian Dakwah dan Tarbiah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, dan turut disertai oleh wakil masjid kariah Ulu Melaka selaku wakil komuniti setempat serta kontraktor terlibat.

Pihak PKNK amat menghargai sokongan padu daripada Y. Bhg. Dato' Pegawai Daerah Langkawi serta semua pihak terlibat, dan semoga semua usaha ini dipermudahkan dan beroleh kejayaan.

21 April 2022, Alor Setar - Program Ukhwah Majlis Iftar Jamaei PKNK bersama Syarikat Kumpulan PKNK telah berlangsung dengan jayanya di dewan Ukir Mall, dewan yang berwajah baharu menempatkan 160 orang tetamu yang hadir.

Turut berlangsung penyampaian replika cek dari syarikat Kulim Technology Park Corporation kepada PKNK selaku amil kutipan zakat perniagaan sebanyak RM 500,000. Majlis bantuan Hari Raya juga telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Syed Yusof bin Syed Othman , Ketua Pegawai Eksekutif PKNK dan En Saharudin bin Sarwan , Ahli PKNK kepada tetamu istimewa dari Rumah Anak-Anak Yatim Yayasan Bunga Raya, PERKIM dan Maahad Tahfiz Al- Quran Derga.

Majlis dimeriahkan dengan alunan qasidah pelajar-pelajar dari Maahad Tahfiz Al-Quran Derga. Turut hadir bersama YB Encik Azman bin Nasarudin (Ahli PKNK), Datin Noor Hayati binti Ismail selaku Pengerusi PUSPANITA PKNK, Tuan Hj Hakim Ariff bin Md Noor (Ketua Pegawai Pentadbiran dan Kewangan) Puan Anita binti Salleh (Ketua Pegawai Operasi), barisan ketua-ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurusan Syarikat Kumpulan PKNK, barisan pengurusan kanan dan pegawai-pegawai dari PKNK, pegawai-pegawai Lembaga Zakat Negeri Kedah dan warga kerja PKNK