Satu (1) program telah dianjurkan oleh Bahagian Keusahawanan iaitu Sesi Bimbingan Guru-Guru Pembimbing Bagi Program Tunas Niaga (PROTUNe) Tahun 2021 Peringkat Negeri Kedah, berjaya mengumpulkan seramai lebih dari 40 orang guru pembimbing dari 26 sekolah serata negeri Kedah. Program ini bertujuan untuk membimbing secara komprehensif guru-guru dan para pelajar dari sekolah baharu yang terlibat dengan program PROTUNe bagi tahun 2021 bagi memberi maklumat yang lebih jelas kepada guru dan pelajar mengenai konsep perniagaan dalam program PROTUNe.

Program yang mempunyai empat (4) sesi itu, dijalankan bermula pada 14, 23 dan       30 November 2021 menerusi aplikasi “Zoom”. Program terakhir yang sepatutnya diadakan pada 8 dan 9 Disember 2021 secara fizikal, terpaksa ditunda akibat dari kekangan masa terutamanya dari pihak guru-guru pembimbing. Oleh sebab itu, program tersebut diadakan pada 13 hingga 15 Januari 2022 (Khamis-Sabtu) di Goldsands Hotel Langkawi, Kedah.

Program dimulakan dengan penyampaian taklimat ringkas berkenaan dengan program PROTUNe secara menyeluruh oleh Puan Hajah Hanisah binti Baharum, Pengurus Bahagian Keusahawanan PKNK sebelum diserahkan kepada pihak konsultan. Bahagian Keusahawanan sekali lagi melantik syarikat Akademi PKNS selaku konsultan, kerana modul yang dibekalkan adalah relevan dan bersesuaian dengan situasi semasa disamping dapat membimbing guru-guru secara bersemuka (one-to-one coaching).

Selain itu, slot-slot yang disediakan oleh pihak konsultan mempunyai pengisian yang berbeza-beza yang dikendalikan oleh jurulatih Encik Aliff bin Rashid. Program berakhir dengan dengan jamuan makan malam yang dihadiri oleh Tuan Wan Nor Azman Bin Zainol, Ketua Penolong Pengarah Pembangunan Bakat Murid, Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPNK), Puan Anita binti Salleh, Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Perniagaan PKNK, Puan Hajah Hanisah binti Baharum, Pengurus Bahagian Keusahawanan PKNK, Encik Ismail bin Man, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Pembangunan Murid) Pejabat Pendidikan Langkawi serta beberapa pegawai dari JPNK dan Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi. Majlis bermula dengan ucapan aluan oleh Puan Anita binti Salleh dan ditutup dengan ucapan perasmian penutup oleh Tuan Wan Nor Azman Bin Zainol.